Search

topup la PAHALA di BULAN POSE ni neh

Qiamullail

Beribadah kepada Allah S.W.T. Amalan qiamullail bukanlah satu perkara baru, bahkan ianya merupakan ibadah yang sudah menjadi darah daging atau amalan para rasul, nabi-nabi, orang salih dan alim ulama’ sejak dahulu lagi.


KELEBIHAN
Banyak ayat al-Quran dan hadith nabi yang menerangkan tentang kelebihan bagi mereka yang mengerjakan ibadah qiamullail. Di antaranya ialah firman Allah S.W.T. :

Maksudnya:
“Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah “Sembahyang Tahajjud” padanya sebagai sembahyang tambahan bagimu, semoga Tuhanmu membangkitkan dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji”.
(Surah al-Isra’: 79)

Dalam firman-Nya yang lain berbunyi:

Maksudnya:
“Dan (dengan apa keadaan pun) maka pada sebahagian waktu malam sujudlah kepada Tuhanmu (dengan mengerjakan sembahyang) dan (seboleh-bolehnya) bertasbihlah memuji-Nya (dengan mengerjakan sembahyang Tahajjud), pada sebahagian yang panjang dari waktu malam”.
(Surah al-Insan :26)

Rasulullah s.a.w menyuruh umatnya bangun beribadat di tengah malam (qiamullail) sebagai satu ibadah tambahan. Baginda sentiasa melakukan qiamullail dengan bersungguh-sungguh sebagaimana yang digambarkan dalam sebuah hadith dari Aisyah r.a. yang berbunyi:

Maksudnya:
“Bahawa Rasulullah s.a.w. bangun sebahagian daripada malam bersembahyang hingga bengkak kedua kakinya, maka aku (Aisyah) berkata kepada baginda, mengapa Rasulullah s.a.w lakukan ini semua, bukankah dosa tuan telah diampunkan oleh Allah sama ada yang terdahulu ataupun yang terkemudian?. Baginda menjawab: Salahkah aku menjadi hamba yang bersyukur?”
(Muttafaq ‘Alaih)

Bangun bersembahyang, bertasbih dan membaca al-Quran pada sebahagian daripada malam boleh memberi kesan yang mendalam kepada jiwa orang yang melakukannya. Firman Allah yang berbunyi:

Maksudnya:
“Sesungguhnya bangun beribadat pada waktu malam itu adalah sangat berkesan (dalam hati) dan lebih betul bacaannya”.
(Surah al-Muzammil:16)

Jabir r.a pula mengatakan bahawa aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda yang berbunyi:

Maksudnya:
“Pada malam hari ada satu saat (yang berkat) di mana jika seseorang muslim menepati saat itu dan berdoa kepada Allah s.w.t. meminta keberkatan dunia atau akhirat nescaya Allah kabulkan doanya. Keadaan ini ada pada tiap-tiap malam”.
(Riwayat Muslim)

Dalam sebuah hadith lain pula Abdullah bin Salam berkata bahawa beliau mendengar Rasulullah s.a.w bersabda yang berbunyi:

Maksudnya:
“Wahai manusia hendaklah kamu banyak memberi salam, memberi makan, bersembahyang pada waktu malam ketika manusia sedang nyenyak tidur, nescaya kamu akan masuk syurga dengan sejahtera”.
(Riwayat at-Tirmizi)

Amalan-Amalan Sunat Semasa Qiamullail

Di antara amalan-amalan yang disunatkan semasa qiamullail ialah mengerjakan sembahyang-sembahyang sunat, membaca al-Quran, berdoa, berzikir dan beristighfar memohon ampun ke hadrat Allah S.W.T. Tentang sedikit atau banyak mengerjakan amalan-amalan sunat, tidak dihadkan. Ini terpulanglah kepada kemampuan seseorang untuk mengerjakan amalan-amalan sunat. Jika seseorang itu hanya mampu mengerjakan dua rakaat sembahyang Tahajjud sahaja umpamanya, maka ini juga dikira melakukan ibadat qiamullail. Walau bagaimanapun sedikit atau banyak bukanlah menjadi ukuran, tetapi yang penting adalah keikhlasan seseorang dalam mengerjakan ibadat dan sentiasa melakukannya. Ini akan lebih menghampirkan diri seseorang itu kepada Allah S.W.T.

Beberapa Sembahyang Sunat Semasa Qiamullail

Sembahyang Sunat Awwabin

Sembahyang Sunat Tahajjud

Sembahyang Sunat Hajat

Sembahyang Sunat Taubat

Sembahyang Sunat Tasbih

Sembahyang Sunat Witir

KAIFIAT SOLAT SUNAT
Sepertimana yang dijelaskan sebelum ini bahawa qiamullail merupakan amalan sunat yang sangat tinggi ganjarannya dari Allah S.W.T. Amalan ini boleh dikerjakan secara persendirian atau bersama anak isteri di rumah ataupun secara berjemaah sama ada di masjid atau di surau. Jika dikerjakan secara persendirian atau bersama keluarga bolehlah dikerjakan di rumah sahaja. Waktu yang sebaik-baik kita bangun ialah sepertiga akhir malam ( kira-kira 3.00 pagi). Setelah kita bangun dan mengambil wudhu’ lalu terus mengerjakan sembahyang Tahajjud dua rakaat atau lebih dan mengerjakan sunat lain seperti sunat Tasbih, sunat Taubat, sunat Hajat dan sunat Witir

Jika qiamullail dilakukan secara berjemaah di masjid atau di surau, ikutilah program yang telah diatur oleh pihak urusetia.

PENUTUP
Ibadat fardhu seperti sembahyang, puasa, zakat dan sebagainya adalah ibadat yang semestinya kita kerjakan, kerana ianya merupakan kewajipan atau tanggungjawab bagi setiap yang cukup syarat-syaratnya. Manakala ibadat-ibadat sunat seperti sembahyang sunat, membaca al-Quran, berzikir, berdoa dan sebagainya adalah merupakan ibadat tambahan, di mana ganjaran hasil dari ibadat tersebut akan dapat menaikkan darjat seorang mukmin ke suatu darjat yang disebut iaitu tempat yang terpuji di akhirat nanti.

Oleh yang demikian marilah sama-sama kita cuba memperbanyakkan amalan-amalan sunat lebih-lebih lagi ibadat qiamullail, sementara badan kita masih sihat, masih mempunyai kekuatan fizikal hasil dari mengecapi nikmat-nikmat Allah S.W.T., mudah-mudahan kita juga akan termasuk ke dalam golongan ahli ibadat dan diletakkan bersama-sama dengan para nabi, rasul dan orang-orang salih.

2 comments:

jai.jezz ^.~ said...

bulan ramadhan la kita patut nantikan sebab byk pahala yg boleh kita kaut. :)

aiyou said...

jai-ye ni la bln y dtunggu-tunggu

Post a Comment

kata-kata korang

Blog Widget by LinkWithin